Pengantar
Kaba
Gadih Basanai adalah kaba yang berasal dari Pesisir Selatan dengan setting
cerita di daerah Salido. Salido adalah sebuah pantai yang indah di Bandar Sepuluh,
pesisir barat Sumatera. Berikut jalan cerita selengkapnya:
Jalan
Cerita
Semenjak
ibunya mati, tinggallah Gadih Basanai seorang diri di rumah yang besar. Tiada
seorangpun mendekat-dekat ke situ yang dapat jadi kawannya dan menghilangkan
kesunyian. Apa lagi dia terhitung orang berbangsa, takut orang biasa akan mendekati
dia.
Sebab
itu iapun dibawa pindah oleh mamaknya ke rumah isterinya di Salido. Di sanalah
dia tinggal dengan mentuanya (isteri mamaknya itu) yang berbudi. Anaknya ada
pula seorang lelaki, bernama Syamsudin. Kerana itu anaknya yang seorang telah
jadi berdua.
Kian
tahun kian besarlah Basanai, menjadi semangat rumah yang besar, permainan mata
mamak dan mentua; cantik lagi jelita. Menurut adat kampong, bilamana bunga
telah mulai kembang, mendekatlah kumbang hendak menyeri manisannya.
Demi
setelah cukup usianya 16 tahun bertimpa cerana datang, pinangan anak
sutan-sutan, orang berbangsa dalam negeri, meminta supaya Basanai suka
dijadikan teman hidup. Tetapi mamaknya belum hendak menerima “kata orang,”
sebab belum ada yang dapat dipandang duduk sama rendah, tegak sama tinggi
dengan Basanai. Enam kali cerana datang, enam orang bujang berganti, semuanya
tertolak saja. Jarang sutan akan jodohnya, jarang puteri akan tandingnya.
Tetapi
lain daripada segala permintaan orang lain, ada seorang yang telah menanamkan cinta
di dalam hatinya terhadap Basanai, cinta yang membukakan pengharapan di zaman
yang akan datang. Cinta yang selalu tidak memperbezakan darjat. Orang itu ialah
Syamsudin sendiri. Adapun Basanai tidaklah tahu bahawa saudara sepupunya itu
menaruh cinta kepada dia, lain dari cinta saudara lelaki kepada saudara
perempuan, kerana sejak dari kecil mereka makan sepinggan, minum semangkuk,
sama di bawah naungan langit hijau, sama mandi di sebuah pancuran.
Bilamana
perasaan cinta telah bersemai, tidaklah ada makhluk yang sanggup
menghalanginya, sebab cinta ialah perasaan hati yang merdeka dan bebas. Sebab
itu bercintalah Syamsudin sendirinya, tidak seorang pun manusia yang tahu, dan
dia pun tidak berniat hendak memberitau kepada orang lain, hatta kepada ibu dan
bapanya. Kerana menurut adat yang lazim di Minangkabau pada masa itu, bangsa
ayah tidaklah sama dengan anak. Hanya bangsa mamak yang sama dengan bangsa
kemamakkan. Sisa-sisa adat lama itupun masih ada sampai sekarang. Jadi adalah
Basanai sebangsa dengan ayah Syamsudin, dan Syamsudin sebangsa dengan ibunya
sendiri. Ayahnya orang jemputan, ibunya orang di bawah, “diukur tegak sama
tinggi, tapi tentang bangsa dia kurang”
Pada
suatu hari, sedang Syamsudin mandi seorang dirinya di pancuran, bertemulah
olehnya segulung rambut yang hitam berkilat dan panjang. Dia tahu benar bahawa
rambut itu rambut Basanai, sebab rambut ibunya tidak sepanjang itu. Dan orang
lain tidak ada yang mandi ke situ. Dia tahu pula, jika sekiranya dia hendak
meminta sesuatu tanda mata kepada Basanai, tidaklah akan diberinya. Sebab itu
dipadankannya saja rambut itu akan dijadikan tangkal azimat, dijadikan ubat
jerih pelerai demam. Rambut itu digulungnya baik-baik, dimasukkannya ke dalam
puan ibunya; setelah itu dibungkusnya dengan kain putih sedester. Bilamana
tengah malam dan bulan terang benderang, kerapkali dia berdiri ke tepi pantai,
melihat ombak memecah di karang dan angin laut berhembus, maka
dikeluarkannyalah puan itu dari sakunya, lalu dipantunnya:
Anak gagak di lesung cina
Makan berulang ke perahu
Hati hendak bagaikan gila
Tapi mengata tidak tahu
Makan berulang ke perahu
Hati hendak bagaikan gila
Tapi mengata tidak tahu
Maka
tibalah musim orang ke Pagai mencari rotan dan damar. Biasanya bilamana rotan
telah terkumpul, dibawalah ke pulau Cingkok, sebab di sana banyak berlabuh
kapal dagang orang Feringgi (Portugis), Inggeris dan Belanda, hendak membeli
barang hutan. Biasanya orang Salido belayar ke Pagai bersama-sama,
selama-lamanya 3 bulan. Jika angin selesai, barulah mereka pulang.
Syamsudin
dengan ayahnya pun hendak pergi pula ke Pagai, sebagaimana kebiasaan tiap-tiap
tahun. Sebelum berangkat, disiapkan dahulu segala yang perlu, dijahit layar
mana yang robek, ditukar mana yang usang, biduk ditampal mana yang tiris.
Setelah tiba hari yang ditentukan, pergilah Basanai dengan mentuanya ke tepi
pantai, hendak melepas mereka berlayar. Di atas pasir yang luas itu, di pinggir
pantai lautan yang tidak kelihatan tepinya, di ombak yang bergulung-gulung di
riak memukul kaki, di bawah naung langit hijau, di sanalah Basanai dan
mentuanya menangis melepas orang akan belayar.
Setelah
ayahnya naik ke biduk, Syamsudin pergi menjabat tangan ibunya, Basanai terpisah
tegak agak jauh sehingga percakapan orang berdua itu tiada terdengar olehnya,
apalagi kerana gelombang memecah di pasir dan angin berhembus di pantai amat
keras. Syamsudin berkata:”Ibuku, belum tentu anakanda akan kembali pulang,
manalah dapat ditentukan gerak Allah. Kalau untung baik, selamat anakanda
pulang pergi. Kalau gerak takdir telah tersurat, entah hilang anakanda di laut
lepas, entah di lamun ombak tujuh, gerak Allah siapa tahu? Hanya sedikit
anakanda meninggalkan pesan, pegang petaruh erat-erat. Di atas kepala pintu
yang menghadap ke laut ada anakanda letakkan sebuah puan perak berbungkus
dengan kain putih; di dekat itu ada pula sebuah cermin. Tiada seorang pun boleh
memegang dan mengambil barang itu, tentu akan terlanggar pantang. Kelak jika
nama anakanda saja yang pulang barulah boleh ibu mengambil kedua-dua barang
itu”
“Baiklah,”
jawab ibunya: “Petaruhmu akan bonda pegang erat-erat. Selamatlah anak belayar.”
Dikerlingnya
Basanai dengan sudut matanya yang muram, seraya katanya: “Selamat tinggal,
Basanai.”
Sebelum
Basanai sempat menjawab, dia telah melompat ke atas biduknya. Ayahnya telah
menunggu dia di sana. Layar pun dikembangkannya dan sauh dibongkarnya.
Tiada berapa lama antaranya biduk itupun beroleh angin yang selesa. Setelah sebesar kumbang kelihatannya di lautan, barulah Basanai dan mentuanya pulang ke rumahnya.
Tiada berapa lama antaranya biduk itupun beroleh angin yang selesa. Setelah sebesar kumbang kelihatannya di lautan, barulah Basanai dan mentuanya pulang ke rumahnya.
Sebulan
telah menjadi dua bulan, hampir tiga bulan penuh! Khabar berita dari Pagai
belum datang. Pada suatu hari, sedang Basanai membersihkan jaring labah-labah,
sampailah hujung sapunya kepada pintu tempat puan dan cermin itu diletakkan
Syamsudin.
“Barang
apakah itu, mentua?” tanyanya kepada mentuanya.
“Wahai,
Gadih! Itulah barang simpanan Syamsudin, agaknya azimat dan tangkal. Dia
berpetaruh benar melarang orang menyentuh kedua barang itu. Dia sendirilah
seorang kelak jika telah kembali yang akan mengambilnya. Jika namanya saja yang
pulang, barulah ibu akan mengambilnya.”
“Barang
apalah agaknya,” kata Basanai dalam hatinya dan pekerjaannya pun diteruskannya
pula.
Tiap-tiap
membersihkan rumah, sampai juga hujung sapunya kepada barang yang terlarang
itu. Akhirnya timbullah keinginan hendak tahu, kerana demikianlah tabiat
manusia. Yang paling diingininya ialah barang yang terlarang.
Pada
suatu hari, sedang mentuanya membawa perian dan labu ke pancuran, menjemput air
minum, Basanai meningkat gerangan isi bungkusan itu dan apakah cermin itu.
Sebentar saja sampailah tangannya ke sana dan dibawanyalah kedua barang itu
turun bagai menatang minyak penuh. Bungkusan itu dibukanya, dadanya
berdebar-debar. Setelah itu dibukanya pula puan perak itu. Isinya segumpal
rambut yang hitam panjang. Bertambah debar-debar hatinya, kerana rambut itu
rambutnya sendiri. Diperhatikannya rambut itu baik-baik. Gementar sendi
tulangnya, merah padam warna mukanya. Apakah gunanya rambutnya itu disimpan
oleh Syamsudin?
Seakan-akan
ada suara ghaib berbisik di telinganya membisikkan suatu perasaan yang belum
pernah dirasainya selama hidupnya, dan perasaan itupun mengalir ke seluruh
batang tubuhnya dan urat darahnya. Tawar dan dingin rasanya!
Diambilnya
pula cermin itu, dilihatnya mukanya di sana, muka yang cantik lagi jelita, buah
tutur anak sutan-sutan yang berenam. Tetapi hairan…. Bukan mukanya yang
kelihatan, hanya muka orang lain! Mula-mula samar, kemudian nyata, muka
Syamsudin!
Darahnya
tersirap!
Tengah
ia termenung dan hairan melihat cermin itu, mentuanya datang. Dia terkejut
melihat perbuatan Basanai, hampir terhempas perian yang sedang dipikulnya.
“Celaka!
Mengapa engkau langgar larang dan pantangan? Kalau tidak mengandung bahaya,
tentu tidak akan dilarang oleh si Syamsudin menjamah benda itu, ketika dia akan
belayar. Letakkan lekas, kembalikan ke tempatnya celaka engkau nanti”
“Celaka
tanganku yang gatal ini, mentua, hati pun tak dapat aku tahan, dia hendak tahu
juga. Jika kak Asam pulang mintakan Basanai ampun kepadanya. Tetapi mentua!….
Mengapa rupa dan wajah kak Asam yang kelihatan dalam kaca ini? Salahkah
pemandanganku?
Tidak,
mentua, bukan hamba salah lihat. Nyata wajah kak Asam di dalamnya! Lihatlah!
Segera
mentuanya datang melihat kaca itu. Dia tersenyum sebab yang kelihatan di sana
bukan wajah Syamsudin, melainkan wajahnya sendiri, sebagaimana biasa segala
kaca di dunia ini. “Bukan, bukan Syamsudin yang kelihatan di dalamnya, nak!
Syamsudin
sekarang jauh di Pagai. Hal itulah hanya bayang-bayang angan-angan belaka.
Kaca
itu dilihat sekali lagi oleh Basanai, rupa Syamsudin tidak kelihatan lagi,
hanya wajahnya sendiri pula! Rupanya perasaan jantung yang tengah bergelora
telah padam, telah sedar kembali. “Rupanya hamba salah lihat,” katanya sambil
tersenyum tetapi mukanya agak pucat.
“Bukan
sudah bonda katakan? Engkau terlanggar pantangan. Jangan barang itu Basanai
dekati, kata bonda, engkau dekati juga, sekarang begini yang bertemu…”
“Ohh
mentua, mintakanlah hamba ampun jika kak Asam pulang, mohonkan hamba maaf
kepadanya. Hamba akui kesalahan hamba, digantung hamba tinggi, dibuang hamba
jauh, apa putusan kak Asam hamba ikut, untuk menebus dosa hamba.”
Sedang
duduk berdua menganyam tikar
“Sedang
mengapa agaknya orang di Pagai, mentua? Khabar beritanya tidak juga sampai.”
“Agaknya
sedang mengumpulkan rotan. Setelah penuh biduk, barulah dibawa ke pulau
Cingkuk. Setelah itu jika bertiup angin selatan, biduk akan menuju pulang.”
Sedang
menjemur di halaman
“Mentua,
sudah hamba hitung-hitungkan hari, sudah hamba bilang-bilangkan pekan…
Khabar dari Pagai tidak
juga datang
Nun, tengoklah di tepi pantai, mentua
Biduk orang lain telah berlabuh dua tiga
Biduk dari Pagai belum juga pulang
Nun, tengoklah di tepi pantai, mentua
Biduk orang lain telah berlabuh dua tiga
Biduk dari Pagai belum juga pulang
“Basanai,
tiris agaknya biduk kita; mencari damar penyumbat yang tiris itu mamak dan
saudaramu dahulu. Agaknya layar cabik dihembus angin barat, memintal benang
mereka dahulu penjahit yang cabik itu”
“O mentua, tak
tertanggung, tak tertahan,
Malam haram mataku tidur,
Siang haram dudukku senang,
Ingatan kepada orang di Pagai saja”
Malam haram mataku tidur,
Siang haram dudukku senang,
Ingatan kepada orang di Pagai saja”
“Basanai,
Basanai! Dahulukan sudah bonda katakana jua, anak sudah melampaui pantangan,
anak
sudah melanggar larangan.”
Basanai
jatuh sakit
“Kian
lama kian lemah sekujur tubuhku, mentua! Biarkanlah hamba duduk dekat pintu
yang menghadap ke laut,
Supaya
dapat segera hamba lihat,
Agaknya
telah dekat biduk orang Pagai akan pulang,
Apakah
yang kelihatan putih di hujung laut itu, mentua?
Bukankah
layar biduk orang dari Pagai?”
“Bukan,
Gadih, bukan! Yang kelihatan putih dari jauh itu ialah ombak yang sedang
memecah di atas karang. Dan itu, yang di sebelah selatan itu ialah burung
belang laut, berkejar-kejaran mencari makanan, putih sayapnya kena cahaya
matahari.”
“Itu?
Yang kelihatan antara ada dengan tiada, bukankah biduk orang dari Pagai itu
dihayun ombak dan gelombang?”
“Belum,
Gadih! Hanya biduk nelayan, yang belayar di tepi-tepi saja, ke tengah takut
digelombang.”
“Bilakah
biduk dari Pagai akan berlabuh…. Oh mentua?”
Sakit
Basanai bertambah larut
“Sudah
berasap penglihatanku, mentua!”
“Tak
nyata lagi olehku ombak yang memecah di karang, hanya deru angin yang
kedengaran di telingaku, belum jugakah biduk dari Pagai akan berlabuh…?”
“Lautan
hijau, ku lihat laksana rumput gatil-gatilan.”
“Mentua,
sudah lemah sendi tulangku, goyah segala anggotaku!”
“Alangkah
sakitnya nyawa akan bercerai dengan badan. Agaknya orang dari Pagai takkan
melihat badan hamba ketanahkan.”
“Jika
Gadih Basanai mati muda, mentua, panggil tunangan, keenamnya, berdua suruh
merobek kafan, berdua menggali kubur, berdua menyembahyangkan; memandikan
mayatku oleh mentua sendiri. Kuburkan mayatku di atas puncak gunung ledang, di
bawah naungan pohon delima dua sederet, di dekat kemuning hijau. Tegakkan di
atas kuburku bendera berjurai dua, sejurai hadapkan ke rumah marhum ibuku,
sejurai hadapkan ke laut, supaya tampak oleh biduk orang dari Pagai.”
“Oh
Gadih Basanai! Semolek secantik ini, segombang semuda ini engkau, dunia akan
engkau tinggalkan?”
“Dan
jika orang dari Pagai pulang, suruh ziarah dia ke kuburku; badan hamba yang
halus tak kuasa lagi menunggu dia sampai pulang, hamba tunggu dia di puncak
gunung ledang…
Sekarang,
hadapkanlah mukaku ke laut lepas, ke jihat Pagai, supaya senang jiwaku
meninggalkan dunia dan damai semangatku meningkat langit….” Dengan tangis
tersedu-sedu mentuanya meninggikan bantalnya. Basanai pun melihat tenang-tenang
ke laut, ke jihat Pagai. Waktu itulah sampai janjiNya.
Syamsudin
pulang
“Apa
sebabnya merah tanah di puncak gunung ledang, ayah?
Adakah ayah lihat bendera dua jurai, di bawah naungan delima dua sederet, di dekat kemuning hijau?
Adakah ayah lihat bendera dua jurai, di bawah naungan delima dua sederet, di dekat kemuning hijau?
Kubur
siapakah itu agaknya?”
“Entahlah
anak, hati ayah pun berdebar-debar pula.”
Biduk
berlabuh, ibunya menunggu seorang diri di tepi pantai.
“Mana
Basanai, ibuku?” Tanya Syamsudin.
“O
anak, Basanai tidak ada lagi, dia telah dahulu dari kita. Lihatlah puncak
gunung ledang, masih basah tanah menalakin, telah tertegak nesan dua buah.”
Tertegun
Syamsudin tegak, airmatanya jatuh dua jatuh tiga, bagai manik putus pengarang.
Ayah bondanya menangis pula kerana tangisnya itu.
“Tidakkah
Basanai meninggalkan pesan, tidakkah dia tertinggal kata? O ibuku, dia tahu…”
“Wahai,
anak! Sebab dia telah tahu bahawa engkau cinta kepadanyalah maka dia sampai
begitu. Larang pantangan dilanggarnya, sampai dibukanya bungkusan pantangan;
dalam bungkusan itu bertemu olehnya tanda-tanda yang menunjukkan cinta engkau
kepadanya. Sejak itu hatinya tak senang lagi, dia hendak bertemu juga, hendak
menyampaikan kepada engkau bahawa dia pun cinta kepadamu. Petaruhnya ada
sebuah, iaitu tidak sanggup lagi dia menunggu engkau di dunia; sebab itu
ditungunya engkau di akhirat. Disuruhnya engkau ziarah ke kuburnya, tubuhnya
yang halus menunggu kedatangan engkau di sana.”
Petang
khamis malam jumaat pergilah Syamsudin ke atas puncak gunung ledang, membawa
perasapan, dengan lidi kelapa hijau 7 helai dan air dari 7 muara. Sesampai di
kubur Gadih itu, dikelilingi kubur itu 7 kali dengan perasapan; kemudian
disiramnya dengan air 7 muara, dipukulnya dengan lidi kelapa hijau 7 helai,
kerana demikian petua dukun. Setelah itu iapun bernyanyi memanggil arwah orang
yang telah mati.
Diserunya
orang yang telah dalam kubur, orang kubur menyeru pula kepada orang dunia. Maka
menanglah seruan ghaib, kalah seruan dalam lahir. Di atas kubur itulah, di
bawah cahaya bulan purnama, di dalam deru angin malam, Syamsudin menghembuskan
nafasnya yang penghabisan…
~Sampai sekarang bilamana tukang rebab atau biola melagukan
nyanyian “Gadih Basanai.” Orang-orang yang mendengar tenggelam dalam harus
kegahiban. Seakan-akan lagu itu adalah lagunya dewa-dewa
Sumber :
0 komentar:
Posting Komentar